one2many

setiap yang banyak itu pasti ada kekurangan

Monday, February 6, 2012

Jalan Lain Untuk Hudud

“Golongan Yahudi dan Nasrani itu tidak akan berdiam diri hinggalah kamu mengikuti agama mereka”- (Al-Baqarah: 120)

Berulang-kali diasak, akhirnya seorang teman mengakui betapa dia terlalu berharap untuk melihat parti kesayangannya, PAS, memimpin sebuah daulah Islamiah di negara ini. Sedangkan, kata teman itu, harapan itu ternyata semakin pudar dan jauh untuk digapai.

Seperti teman itu, di luar sana masih ramai yang menyimpan harapan serupa. Lebih dari itu, setiap yang bergelar muslim mukmin pasti berharap sebuah daulah Islamiah akhirnya berdiri teguh di Malaysia dan di rantau Nusantara yang mempunyai komposisi penduduk Islam terbesar di dunia.

Daulah Islamiah adalah cita-cita dan harapan kita semua. Lantaran itu ia menjadi tanggungjawab setiap diri umat Islam untuk menegakkan cita-cita dan harapan tersebut melalui apa-apa sahaja kekuatan yang termampu.

Namun, dalam konteks muktahir, adakah benar parti kesayangan teman saya itu layak untuk mengemudi jemaah ke arah mendirikan sebuah kerajaan Islam sejati di negara ini?

Inilah yang saya cuba cari dan selidiki termasuk daripada teman saya itu, yang sejak awal akil balighnya hanya kenal PAS dan menjiwai sepenuhnya ruh parti itu dan dibawa hingga ke bumi Mesir. Sekembalinya, malah semangatnya semakin berkobar-kobar. Justeru menjadi sayugia di hati saya kalau-kalau dia boleh mencerahkan kekusutan saya ini. Adakah PAS jawapannya?

Teman saya itu hanya diam apabila saya bertanya tentang mekanisme atau kaedah yang boleh dilakukan oleh PAS dalam usaha menegakkan daulah Islamiah.

Putrajaya adalah simbol kuasa di negara ini. Sesiapa yang berjaya menguasai kota itu, maka dia punya segala kekuatan untuk melaksanakan cita-cita politiknya. Dan kerana daulah Islamiah adalah cita-cita politik PAS dan seluruh ahlinya, maka Putrajaya harus direbut terlebih dahulu. Menguasai Putrajaya, maknanya mendapat bantuan daripada Allah SWT dan PAS semakin hampir, katanya.

Dua persoalan saya lanjutkan. Adakah selama lebih 50 tahun ini Allah tidak membantu perjuangan murni PAS? Dan bolehkah sebuah daulah Islamiah didirikan melalui kaedah barat, iaitu sistem peti undi dalam konsep demokrasi berparlimen? Bolehkah ia dilakukan melalui Pakatan yang disertai PAS sekarang?

Teman saya itu ternyata tidak selesa dengan soalan pertama. Dan dia semakin rimas dengan soalan kedua. Kata teman saya itu, kita tidak boleh mengharapkan kerajaan yang ada sekarang (maksudnya tentulah UMNO) yang sudah 50 tahun berkuasa tetapi tetap tidak melaksanakan Islam. Jadi pilihan yang lebih baik ialah PAS!

Tetapi adakah dia lupa, siapa PAS hari ini?

Apa-apa pun hujah politiknya, saya teguh dengan pendirian bahawa jalan ke Putrajaya tidak boleh dilalui menggunakan tunjuk arah demokrasi yang disediakan oleh orang barat sekiranya kita mahu tegakkan sebuah daulah Islamiah di Malaysia. Kita harus mengambil arah lain yang bertentangan sama sekali. Mustahil? Tidak, sekiranya kita bersatu!

Jawapannya hanyalah melalui persatuan dan penyatuan yang tulen, kukuh dan teguh dalam kalangan umat Islam di negara ini. Tolak tepi kepentingan parti, hatta PAS sekalipun, kerana ia juga sebuah parti politik seperti juga UMNO.

Namun, jika dilihat pada reaksi para pemimpin tertinggi PAS hari ini, harapan asas iaitu penyatuan umat Islam (baca:Melayu) itu pun sudah gagal dicapai. Islam menganjurkan perpaduan, tetapi PAS menolaknya. Jadi bagaimana Islam akan menjadi kuat dan perkasa jika umatnya sendiri tidak mahu bersatu.

Kata teman saya itu, bersatu atas akidah, bukan untuk kuasa. Nah! Tahu pula dia. Seruan UMNO untuk bersatu itu bukan seruan akidah lagikah? Jika PAS bersatu dengan UMNO atas dasar akidah, PAS juga yang untung kerana ia akan mendapat hormat yang tinggi daripada ahli-ahli UMNO yang ternyata lebih ramai berbanding parti itu sendiri.

Dengan menjadi sekutu dalam Pakatan, hala tuju PAS sebenarnya semakin kacau bilau. Jika selama ini orang Melayu mengenali PAS sebagai sebuah parti yang teguh dengan agenda Islamiahnya, tetapi hari ini PAS tak lebih sebagai sebuah parti yess boss dalam Pakatan. Malah, saban hari pelbagai masalah dalaman terdedah. Kalau dulu PAS solid di luar dan di dalam, indah seperti khabar dan dihormati kawan dan lawan, tetapi hari ini ahli-ahlinya sendiri sudah mula tidak mempercayai kemampuan parti itu meneruskan agendanya.

Saya percaya, teman saya itu juga pasti menyedari hakikat ini. Cuma egonya sahaja yang masih membelenggu dirinya daripada keluar dan berpijak di bumi yang nyata.

Kepada teman saya itu dan ahli-ahli PAS yang masih berharap sebuah daulah Islamiah ditegakkan termasuk saya sendiri, percayalah, jalan untuk hudud bukan melalui sistem peti undi tetapi hanya melalui jihad fisabilillah. Usah buang masa dan keringat kita untuk sesuatu yang tidak pasti. Marilah bersatu bersama UMNO demi syiar Islam. Kita pegang amanah Allah SWT ini kuat-kuat untuk imarahkan alam dan negara kita sambil melebarluaskan lagi syiar Islam. Syariat pasti akan tertegak dengan izin Allah pada akhirnya.

Friday, December 30, 2011

Melayu Pimpin Dua Bangsa Utama Dunia


Menginsafi kurniaan Allah SWT. Dalam banyak-banyak bangsa yg diciptakan, Maha Besar Allah telah takdirkan bangsa Melayu memimpin dua bangsa utama dunia di bumi Malaysia. Bukan mahu rasis, jauh sekali meninggikan/memuliakan bangsa sendiri, tetapi siapa berani menafikan fakta ini? Tiada yg dimuliakan jika tidak Allah SWT sendiri yg memuliakannya. Atas asbab apa hingga dua bangsa itu hidup rukun damai dan kaya raya kalau bukan hikmah kebijaksanaan mengikut panduan dan ketentuan. Hampir 60 tahun, tidakkah ini semua kuasa Allah SWT? Fikirkan kebesaran Allah SWT pd setiap tanda yang dizahirkan.

Tuesday, December 6, 2011

UMNO Perlu Menangi Minda dan Hati Orang Muda dengan IDEA

Parlimen Mahasiswa USM

PAUMNO 2011 memang menarik untuk dibincangkan. Selain dikatakan yang terakhir sebelum PRU13, ia juga dilihat sebagai usaha meremajakan semula organisasi politik terbesar orang Melayu itu. Manakan tidak, sepanjang persidangan itu berlangsung, pelbagai saranan dibuat supaya UMNO menjuarai orang muda yang dikatakan bakal menentukan pola pengundian pada PRU13 kelak.

Cakap-cakap mengenai hal ini sebenarnya sudah lama kedengaran. Namun, sehingga kini belum nampak kesungguhan menjayakannya. Belum ada juga impak yang benar-benar boleh meletakkan UMNO pada kedudukan yang lebih selesa jika kita mahu menilai usaha yang dilakukan dalam menarik sokongan golongan muda di negara ini.

Pada pandangan golongan muda pula, UMNO tak lebih sekadar sebuah parti politik untuk orang-orang lama dan veteran. Seperti artifak hidup, UMNO dilihat begitu old school bagi golongan ini, bahkan ada yang beranggapan adalah memalukan jika menyertai UMNO, atau mengaku sebagai orang UMNO. Entah di mana dosa dan salah silap parti keramat ini hingga diberikan imej sedemikian rupa. Hina sekali.

Sesuatu yang menarik yang berlaku seiring dengan realiti tersebut ialah, golongan elitis terus menguasai parti ini. Elitis politik ini bukan sembarangan orang. Mereka berpoket kencang, berkereta besar dan ke hulu ke hilir dengan sejumlah ‘pengikut’ yang setia. Hal ini bukan lagi sesuatu yang disorokkan. Di mana-mana sahaja kita boleh dilihat gelagat golongan elitis ini baik di peringkat Pemuda, Puteri atau bahagian yang lebih tinggi.

Hal-hal beginilah yang sering menyumbang imej negatif terhadap UMNO. Parti ini tidak lagi dilihat sebagai relevan dengan realiti masyarakat kerana ia hanya menguntungkan segelintir pihak sahaja. Usah bercakap tentang sumbangan UMNO di peringkat kebangsaan. Tetapi lihatlah UMNO di peringkat cawangan. Lihat siapa yang menggerakkan parti ini hari ini dan apakah imej yang mereka pakaikan kepada parti ini di mata masyarakat.

Kesalahan besar lain yang sering berlaku ialah para pemimpin UMNO di semua peringkat sering mendendangkan lagu lama tentang jasa dan sumbangan UMNO kepada negara khususnya orang Melayu. Bukan tak molek dilakukan, tetapi janganlah asyik terbuai dengan kejayaan silam. Orang muda menyampah, meluat dan geli mendengarnya.Sama ada pemimpin-pemimpin serta aktivis UMNO dapat menerima hakikat ini ataupun tidak, itu terpulang pada kebijaksanaan masing-masing.

Jadi apa yang perlu dilakukan untuk memenangi hati orang muda, kalau tidak pun dapat menjuarainya? Kembali pada realiti. Orang muda hari ini bukan lagi golongan kampungan yang senang dilekakan dengan ganjaran-ganjaran bersifat materialistik. Mereka boleh menendang bola, turun ke padang, dan konvoi beramai-ramai melalui program-program yang dianjurkan oleh Pemuda. Tetapi sejauh mana mereka puas dengan aktiviti sedemikian kalau hati dan minda mereka dibiarkan berlompangan?

Tidak dinafikan, bila cakap tentang golongan muda, kita kena tengok juga golongan mahasiswa dan graduan yang berjumlah ratusan ribu di luar sana. Apa yang golongan ini mahukan? Selain aspek kehidupan yang lebih baik, mereka sebenarnya dahagakan ideologi. Mereka mahukan idea! Ini yang UMNO kelihatan gagal kuasai berbanding jentera Pakatan Rakyat.

Menangi hati dan minda orang muda dengan IDEA. Itulah kuncinya. Orang muda hari ini semakin bijak berfikir dan bercakna. Kenapa Pakatan Rakyat mendapat sokongan yang besar daripada golongan muda? Jawapannya mudah. Mereka menawarkan idea-idea yang segar dan cocok dengan jiwa orang muda di negara ini. Walaupun mungkin sekadar retorik, namun ironinya, cakap-cakap yang sarat dengan idea inilah yang akan memenuhi pemikiran orang muda. Mereka akan berfikir dan berpersepsi. Inilah ideologi.

Sebagai contoh, apabila DS Anwar Ibrahim menjelaskan mekanisme yang akan beliau gunakan bagi mengurangkan harga bahan api di pasaran negara, orang muda sebenarnya amat tertarik dengan idea ini. Ia tidak mustahil dilakukan kerana negara memiliki Petronas! Jadi kenapa idea beliau tidak boleh dilaksanakan? Orang muda bukan bodoh untuk mencari fakta dan berdiskusi secara matang. Percayalah, kalau ada kumpulan anak muda pro-kerajaan diajak berdebat tentang isu ini dengan kumpulan pro-pembangkang, mentah-mentah kumpulan pro-kerajaan akan kalah!

Namun anehnya, jentera UMNO seolah-olah tidak selesa apabila ada anak muda yang mahu bertanya itu ini lebih-lebih lagi jika ia menyangkut hal yang konkrit. Anak-anak muda segera diarahkan senyap atau mereka akan disisihkan. Ini memang berlaku terutamanya di peringkat cawangan.

UMNO tidak boleh lagi guna metod lama jika mahu kekal relevan. Sudah ramai yang bercakap tentang perkara ini. Kini tibalah masanya gerak kerja dimulakan. AUKU yang bakal dipinda harus digunakan sepenuhnya sebagai ruang untuk mendekati golongan muda terpelajar kerana golongan inilah yang sering menjadi target kem Anwar Ibrahim. Ini juga bukan lagi rahsia.

UMNO perlu bercakap tentang IDEA, bukan lagi tentang track records lampau. Anak muda mahu lihat dan cipta masa depan dengan tangan dan mata mereka sendiri. Berikan peluang kepada golongan ini untuk turut serta membina negara.

Monday, December 5, 2011

Pemimpin Pembangkang Paling Patriotik!

Bukan untuk mengadili atau menghukum, tetapi petikan berita ini menyerlahkan sikap mereka yang sebenar. Cakap pandai tapi hampeh. Berapa degree tahap patriotisme pemimpin begini kita nak bagi?



Pembangkang Tolak Tawaran Naik Kapal Selam?

LANGKAWI 5 Dis. – Lapan pemimpin utama pembangkang yang dijemput meninjau secara dekat kapal selam kedua Negara, KD Tun Abdul Razak sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 masih belum menyatakan kesudian serta komitmen menghadirinya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, surat jemputan kepada kelapan-lapan pemimpin itu menjemput mereka hadir pada Jumaat ini namun tiada jawapan diterima setakat ini.

Katanya, jemputan itu bagi membuktikan kepada pemimpin tersebut bahwa kapal selam Negara berupaya menyelam dan melakukan pelbagai fungsi lain, tidak seperti dakwaan mereka selama ini.

Baca seterusnya dalam Utusan Malaysia m/s 8 6 Disember 2011.

Agaknya, kalau negara berperang, ke mana pemimpin-pemimpin begini akan larikan diri?


Sunday, December 4, 2011

Pokok Hiasan Krismas Hiasi Pagar Masjid Jamek Jelutong?

Gambar hiasan.

Ketika saya melintasi Masjid Jamek Jelutong, Pulau Pinang, malam semalam bersama seorang teman berbangsa Cina, tiba-tiba beliau bertanya, “Wah, masjid pun sambut Krismas?” Saya terkejut. Dia kemudian menunjukkan ke arah masjid tersebut. Kelihatan cukup jelas deretan pokok hiasan mini ala-ala Pokok Krismas yang bergemerlapan berwarna-warni menghiasi pagar masjid berkenaan.

“Toleransi beragama kita semakin matang,” katanya lagi. Saya hanya terdiam. Pelbagai persoalan bermain di fikiran. Adakah ini tanda toleransi daripada umat Islam khususnya daripada JK Kariah masjid tersebut terhadap orang bukan Islam? Sambutan Krismas sudah semakin hampir. Mungkin juga mereka mahu menunjukkan kegembiraan yang sepatutnya dikongsikan bersama lantaran hidup dalam sebuah masyarakat berbilang agama seperti di Malaysia. Jadi apa salahnya pokok-pokok hiasan tersebut di pasang sedemikian.

Atau, mungkin juga perkara ini tidak disedari langsung. Mungkin JK Kariah cuma tertarik dengan bentuk pokok hiasan tersebut tanpa langsung menyedari reka bentuknya yang mirip pokok Krismas. Jika ini alasannya, malanglah. Kebiasaannya, item hiasan pagar masjid hanya menggunakan lampu berbentuk bulat dan sebagainya. Jarang sekali ada masjid yang menggunakan rekaan pokok Krismas sebagai hiasan pagar walaupun kelihatan cantik atas faktor simbolisme keagamaan. Tetapi di Masjid Jamek Jelutong, lain jadinya.

Saya tidak berniat mencetuskan provokasi. Namun, bagi saya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Pihak JK masjid seharusnya lebih sensitif. Lagi pula, bukankah itu juga satu bentuk pembaziran yang nyata?

Friday, November 25, 2011

AUKU Cuma Alat, Yang Penting BHEP dan Kerajaan Mesti Ditentang!

Kata seorang kenalan (penyokong kuat pembangkang dan juga bekas aktivis mahasiswa haluan kiri), AUKU cuma alat. Apa yang lebih penting bagi beliau dan rakan-rakan ialah usaha menentang kerajaan, dan ia harus menjadi proses yang berterusan walaupun tanpa AUKU itu sendiri.

Itu kata-kata seorang bekas mahasiswa. Pastilah ketika beliau masih bergelar mahasiswa dahulu, AUKU dilihat sebagai tembok yang perlu diruntuhkan walau dengan apa cara sekali pun. Ketika itu, beliau dan rakan-rakan barangkali tidak pernah menduga bahawa suatu hari ini tembok itu akan rebah juga. Lantaran itulah mereka mati-matian berjuang, lalu diwaris-wariskan pula kepada generasi bawahan.

Hari ini, apabila PM umumkan AUKU akan dipinda pada Seksyen 15 yang kononnya menghalang kebebasan bersuara mahasiswa, nada beliau semerta berubah. AUKU cuma alat. Pinda atau mansuh, perjuangan mereka tetap sama. Sudah tentu sama sekali tidak akan berpaling mereka kepada kerajaan kerana mereka itu totok sekali jiwa pembangkangnya. Ini yang Najib gagal cerna dengan baik.

Bagi kenalan ini, perjuangan menentang kerajaan adalah suci dan mesti digerakkan setiap masa. Justeru bagi menampakkan ia rasional, maka AUKU digunakan sebagai wadah atau bola sedang sasarannya ialah pihak kerajaan itu sendiri. Pelbagai alasan dicipta untuk mewajarkannya. Seluruh AUKU dijubahkan dengan jubah iblis, jahat dan lahanat yang hanya mengongkong mahasiswa daripada berkata yang benar-benar, bahawa kerajaan itu salah dan mesti ditentang!

Perisa ditambah, kononnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) universiti itulah proksi kejahatan di dalam kampus yang menjalankan kerja jahat iblis lahanat belaan kerajaan pimpinan para Perdana Menteri termasuk Najib kini.

Maka, melalaklah beliau dan rakan-rakannya dahulu menentang BHEP. Zamannya berlalu, tetapi baton dan obor diserahkan kepada adik-adik. Beliau dan rakan-rakan kemudian memasuki fasa perjuangan baru yang lebih real bersama parti-partinya, kemudian mereka diajarkan budaya baru. Perlahan-lahan, tahulah mereka bahawa perjuangan di dalam kampus dahulu cuma platform mencipta sahsiah politik dan AUKU itu modalnya. Kini, dalam politik yang lebih real, mereka diangkat atas kredit yang dilakukan dahulu tanpa sedikit pun berusaha memberitahu hal sebenar kepada adik-adik di dalam kampus. Terkial-kiallah sang adik-adik ini menentang BHEP dan kerajaan. Ia proses, sekali lagi, proses, yang berterusan.

Hari ini, kata kenalan itu, mereka akan cari modal baharu untuk adik-adik di dalam kampus. AUKU sudah berpihak kepada mereka. Lalu mesti ada alat lain yang lebih konkrit. Kalau dulu BHEP ditentang kerana jadi proksi AUKU, kini, kata kenalan itu, BHEP mesti ditentang kerana ia adalah penguasa undang-undang dalam kampus. Tanpa AUKU pun, BHEP tetap berkuasa! Tak ada untungnya AUKU dipinda atau dihapuskan kalau BHEP kekal berkuasa. Nah, makin bersemangatlah adik-adik kita nanti, kata beliau.

Wahai adik-adik, ketahuilah kalian, BHEP itu tidak ingin pun kuasa. BHEP itu tidak mahu pun berseteru dengan mahasiswanya sendiri. Sebaliknya, merekalah yang bersusah payah mengatur urus sistem kehidupan kita di dalam kampus. Merekalah yang menentukan tempat kita di sini dahulu, memproses setiap permohonan dan menguruskan segala keperluan kita sebaik-baik memasuki alam kampus. Lalu kini kita ingin menentang mereka? Apakah ini tindakan orang yang bersyukur? Kalau benarlah BHEP itu alat untuk penguasa, maka tertolaklah sekian banyak permohonan daripada calon mahasiswa dahulu melalui mekanisme pemilihan yang bersifat kepolitikan, dan itu bukan mustahil dilaksanakan kerana mereka penguasa!

Sebenarnya, kita sendiri yang melihat BHEP itu musuh mahasiswa sedangkan ia cuma satu unit atau bahagian yang berkerja untuk kita, memudahkan urusan kita sehari-harian di dalam kampus. Mereka tidak jadi kuli atau hamba AUKU mahupun kerajaan. AUKU ada atau pun tidak, kerja mereka tetap sama. Kerajaan bertukar atau pun tidak, kerja mereka tetap sama. Janganlah kita terpengaruh mentah-mentah dengan adu domba segelintir teman atau rakan atau pihak luar yang kononnya ditindas dan dizalimi oleh BHEP itu. Bertanyalah, kenapa mereka ditindas dan dizalimi jika ia benar-benar berlaku.

Benar, AUKU ada atau pun tidak, kehidupan kita sebagai mahasiswa tetap berjalan seperti biasa. Tidak ada salahnya mahasiswa mahu berpendirian dalam hal politik. Tetapi biarlah atas kebijaksaan sendiri, bukan guna kebijakan orang lain lalu dijadikan pendirian peribadi. Oportunis atau pesimis, itu pandangan masing-masing. Tetapi jangan sesekali menidakkan atau menjatuhkan peranan dan susah payah orang lain semata-mata mahu menegakkan pandangan sendiri. Anda belum tentu betul, dan mereka belum tentu salah.

-kak esah-

Dipetik daripada Fb Aspirasi USM.

Wednesday, November 23, 2011

AUKU : Najib dan Muhyiddin Tak Senada?

Maka, ramailah yang akan mengambil kredit atas pengumuman DS Najib sebentar tadi untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Setelah dipinda pada tahun 2009, kini ia akan sekali lagi dikosmetikkan supaya mahasiswa kelihatan lebih kreatif dan kritis. Atas maksud itu, maka mahasiswa harus dibenarkan menjadi ahli parti politik. Mereka harus bebas dan setaraf dengan ahli-ahli politik, sedikit lebih tinggi daripada orang kebanyakan kerana lantaran mereka itu intelektual. Itulah harapan Najib dan sekalian ahli politik yang lain.

Mahasiswa dan politik. Ia bukan baru dibicarakan. Kerana politiklah, mahasiswa dibelenggukan oleh AUKU. Kemudian, mahasiswa seolah-olah terbisu. Mereka dikurung dalam pagar kampus dan diberikan segala layanan dan kebajikan yang sempurna, kalau tidak pun yang terbaik. Ditugaskan kepada mereka dengan pelbagai arahan yang bersifat ilmiah supaya golongan ini tidak berjinak-jinak lagi dengan politik dan permaslahatan masyarakat luar. Untuk suatu tempoh yang panjang, mahasiswa jadi enak dengan dunia kampus dan berasa diri selalu lebih tinggi daripada orang kebanyakan.

Tetapi seperti singa atau harimau yang berkawan-kawanan di dalam sangkar besar, lama kelamaan mereka tertanya-tanya juga apakah yang ada di sebalik pagar sangkar itu? Lalu berusahalah mereka mencari jawapan. Mereka berkelompok, berkomplot. Satu pihak mahu terus diam di dalam sangkar menikmati segala nikmat yang disediakan. Satu pihak lagi, mahu cabar sangkar itu atas nama hak dan kebebasan. Akhirnya, berseterulah kedua-duanya.

Itulah yang berlaku dalam jagat mahasiswa. Sejak sekian lama AUKU dipertahankan atas manfaat yang diberikan, akhirnya ia alah juga pada desakan demi desakan sekelompok mahasiswa yang mahu akta ini dimansuhkan, atau setidaknya dipinda. Semuanya atas nama hak dan kebebasan mahasiswa. Persoalannya, adakah kelompok mahasiswa yang menuntut pemansuhan AUKU ini mewakili suara majoriti? Belum ada pungutan suara untuk menentukan jawapan bagi persoalan ini.

Lalu, baru-baru ini, apabila isu AUKU sekali lagi bingit, Timbalan Perdana Menteri dengan sikap terbuka menyerahkannya pada mahasiswa sendiri untuk menentukan hala tuju AUKU. Sama ada ia perlu dipinda, dimansuh atau dikekalkan, mahasiswa sendiri yang akan tentukan. Sekali dengar, ada rasional yang besar daripada sikap terbuka TPM itu. AUKU menyangkut dunia mahasiswa, maka biarlah mahasiswa sendiri menentukannya.

Namun, segalanya seperti buih yang diterbangkan angin apabila Perdana Menteri hari ini mengumumkan keputusan untuk membuat pindaan bagi Seksyen 15 tanpa mengambil kira pandangan seluruh mahasiswa. Dewan Perundingan Pelajar (DPP) USM yang mirip Parlimen Malaysia baru-baru ini sudah pun mengumumkan hasil undian ahli dewannya di mana majoriti menolak AUKU dipinda atau dimansuhkan. Begitu juga beberapa IPTA lain melalui MPP masing-masing turut menyuarakan pandangan yang sama. Tetapi Najib seolah-olah membelakangkan aspirasi majoriti tersebut. Ia juga seolah-olah mengesampingkan saranan timbalan beliau sendiri sebelum ini.

Adakah Najib berkira-kira mahasiswa akan menyokong keputusan tersebut? Sebahagian mungkin ya, sebahagian yang lain tentu tidak. Tetapi beliau silap besar jika syok sendiri dengan menganggap keputusan itu akan merobah corak sokongan mahasiswa terhadap kerajaan BN sekarang. Ia bersifat popular, tetapi kosong. Mahasiswa yang menuntut Seksyen 15 ini dipinda atau dimansuhkan sama sekali tidak akan berhijrah menyertai kem Najib, apatah lagi menunjukkan simpati di atas keterbukaan beliau. Bahkan, mereka akan mengambil kredit yang besar daripada keputusan ini dengan mendakwa perjuangan mereka di pihak yang benar! Maka kian kuatlah mereka menentang Najib selepas ini.

Di dalam kampus, sudah ada budaya politik kepartian yang hebat di mana mahasiswa yang ghairah dengan ‘kuasa’ ini terbahagi kepada dua kumpulan besar iaitu Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi. Kedua-duanya, kalau boleh diumpamakan, seperti pembangkang dan kerajaan. Realitinya, memang itulah yang berlaku di mana Pro-Mahasiswa sering didokong oleh pembangkang. Hal ini bukan rahsia lagi. Setiap kali menjelang pilihan raya kampus, portal-portal pro-pembangkang secara terang-terangan mempromosikan kumpulan ini, malah segelintir pemimpin mereka turut menyatakan sokongan secara langsung kepada kumpulan Pro-M ini. Situasi ini tidak berlaku bagi Pro-A yang selalunya terkial-kial sendirian berjuang.

Adakah Najib dan para pemimpin dari kem beliau memahami situasi ini dengan sebenar-benarnya? Adakah Khairy Jamaludin berdamping dengan mahasiswa seperti Ketua Pemuda PAS yang diketahui mesra dengan pemimpin-pemimpin mahasiswa Pro-M?

Najib sepatutnya menerima pandangan semua mahasiswa sebelum bertindak. Yang akan menangung implikasinya nanti ialah mahasiswa, bukan ahli politik. Memang benar kebebasan dan hak asasi mahasiswa penting, tetapi apa yang lebih penting ialah mengawal perjalanan mereka ke arah masa depan yang lebih baik. Tidak semua berminat dengan politik. Tidak semuanya mahu jadi ahli politik. Tetapi mereka yang tidak berminat ini tidak dapat lari daripada menerima palitan yang sama kelak apabila budaya politik kepartian menular ke dalam kampus. Perpecahan, juga pasti akan bertambah besar.

Adakah Najib juga lupa, sebahagian besar pemimpin beliau ketika ini lahir daripada acuan AUKU sendiri? Adakah mereka dungu dan tidak pandai berpolitik? Realiti politik seharusnya dibiarkan menjadi ilmu luar kuliah untuk mahasiswa supaya mereka tahu membezakan apa yang perlu dan tidak perlu, apa yang penting dan tidak penting dan apa yang benar dan tidak benar, secara intelektual, bebas dan eksklusif tanpa campur tangan parti politik! Pada akhirnya, meraka akan kenal budaya politik sebenar dan paling layak diikuti sebagai wadah perjuangan. Selagi mana ia parti, selagi itulah ia ada kekurangan.

Wednesday, November 16, 2011

KJ Pun Perlu Disekolahkan Jugak Tentang AUKU?

Apa masalahnya dengan AUKU? Ramai yang berkeras mahu ia dimansuhkan. Adakah mereka faham akta ini sepenuhnya atau sekadar terikut-ikut dengan rentak orang lain?

AUKU bukan tentang satu perkara atau seksyen sahaja. Ia sebuah perundangan, tak sama macam ISA. Tetapi masyarakat hari ini umumnya melihat AUKU hanya pada Seksyen 15 yang menyentuh hak dan kebebasan bersuara mahasiswa terutamanya dalam hal politik.

Kalau dimansuhkan, bagaimana dengan kepentingan-kepentingan lain yang sudah diperakukan sendiri oleh Parlimen dalam akta ini? Kalau Haji Hadi kata Hudud cuma 0.00001% daripada kandungan Al-Quran, maka Seksyen 15 ini, kalau tak kurang, lebih 5 % sahaja daripada keseluruhan AUKU itu sendiri. Maka wajarkah ia dimansuhkan hanya untuk memenuhi tuntutan politik terbabit?

Kalau pun ia bertentangan dengan hak asasi warga, ia sebenarnya satu pertentangan yang positif. Dari sudut yang sukar dilihat dengan baik oleh masyarakat terutamanya ahli-ahli politik di luar pagar kampus, ia sebenarnya telah menjaga dan melindungi seluruh mahasiswa daripada kepentingan golongan tersebut.

AUKU bertanggungjawab menjaga keharmonian warga kampus daripada permainan politik pihak luar itu sendiri. Itu premisnya, mudah dan jelas. Benar, mahasiswa adalah warganegara dan seharusnya dibenarkan memiliki hak sebagai warganegara dalam hal politik. Tetapi bolehkah kita menjamin suasana ekslusif dan budaya intelektual di dalam kampus akan kekal dipelihara apabila budaya politik kepartian dibenarkan turut serta?

Apa akan jadi kalau setiap kumpulan mahasiswa yang berbeza ideologi politik berkeras dengan gerakan masing-masing? Situasinya, kalau tak sama seperti di luar sekali pun, paling mirip tetap akan berlaku konflik sesama kumpulan mahasiswa ini. Maka kita akan menyaksikan pelbagai suasana baharu yang selama ini tidak pernah berlaku di dalam kampus seperti ceramah politik menggantikan kuliah-kuliah umum, poster-poster parti menggantikan poster-poster persatuan, dan lebih parah, bila setiap minggu ada pemimpin politik masuk ke kampus mempromosikan agenda parti sekali gus menarik sokongan baru.

Sekarang pun sudah berlaku tetapi masih dalam suasana yang terkawal. Masih ada rasa hormat pada undang-undang meskipun terdapat golongan mahasiswa yang fanatik dengan parti politik tertentu. Inilah pentingnya AUKU, untuk mengawal keadaan juga. Kita tidak mahu kesan yang dibawa nanti memalitkan bau busuk yang sama terhadap seluruh mahasiswa sedangkan yang fanatik itu sebahagian kecil sahaja.

Kebebasan bersuara itu satu hal, dan kesan-kesannya pula adalah hal yang lain, dan inilah yang sepatutnya difikirkan lebih dalam berbanding menuntut diberikan hak untuk bersuara. Mahasiswa perlu guna hak berfikir itu sebaik mungkin, bukannya memperjuangkan pemikiran pihak lain khususnya orang politik di luar pagar kampus. Mereka hanya nampak keuntungan untuk perjuangan parti, tetapi kesan yang akan ditanggung nanti terletak sepenuhnya di atas bahu mahasiswa.

Wednesday, September 21, 2011

PAS Takut ALLAH atau TUN M?

Juak-juak PAS, berhentilah daripada menyalahkan UMNO atas kegagalan melaksanakan hukum Hudud. Walaupun ada yang cuba bermain bahasa dengan mengatakan mereka memperjuangkan hukum, bukan isu, namun ia seolah-olah dijadikan modal untuk meraih keuntungan politik atas simpati orang Islam.

Di luar sana, ramai orang Islam yang mahukan agama dan mahu melihat syariat Islam ditegakkan. Kerana itulah ramai yang menyokong PAS. Tetapi hingga kini, PAS terus bermain dengan isu ini dengan tak henti-henti menyalahkan UMNO khususnya Tun M yang kononnya menentang hukum tersebut.

Menentang ertinya menolak. Menolak hukum al-Quran bukan perkara ringan, malah boleh terkeluar akidah. Adakah Tun M dan Pak Lah sudah terkeluar akidah kerana kononnya menentang usaha PAS tersebut?

Ditakdirkan Allah, mereka menguasai beberapa buah negeri pada PRU 12 lalu. Tetapi Hudud seolah-olah jatuh ke anak tangga paling bawah. Di depan orang Islam, mereka kata UMNO yang tentang. Maka makin bencilah orang-orang yang tidak tahu kepada UMNO. Sedangkan, UMNO juga Islam dan tak pernah saya dengar atau lihat apa-apa kenyataan rasmi yang mengatakan UMNO menolak Hudud.

Sekarang, PAS perlu buktikan kesungguhan mereka. Pedulikan orang Islam dan bukan Islam yang tidak faham. Pedulikan keadaan yang kononnya tidak kondusif. Pedulikan pandangan peguam-peguam sivil yang tidak bersetuju. Sebaliknya, patuh pada perintah Allah kerana bukankah selama ini PAS mendabik dada mereka pejuang Islam sebenar?

Kalau Allah dah suruh, buat sahaja. Orang Islam pasti sokong. Di Acheh, ia boleh dilaksanakan dengan baik. Kenapa di Kelantan dan Kedah tak boleh? Kenapa Selangor tak boleh? Kenapa Pulau Pinang tak boleh? Apa sebenarnya yang ditakutkan, Allah atau Tun M?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...